bismilahirahhamanirahim

Saturday, 24 November 2012

hentikan keganasan ke atas Palestin

ABN News | BM

Israel diminta hentikan keganasan ke atas Palestin

Serangan Israel ke atas Gaza
Serangan Israel ke atas Gaza
KUALA LUMPUR – Keganasan Israel ke atas Palestin di Gaza terus menjadi tajuk utama di media massa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kebimbangan Malaysia dengan perkembangan keganasan yang tercetus di Gaza.
“Kami menggesa kedua-dua pihak yang terlibat supaya menghentikan segala aktiviti keganasan itu agar tidak ada lagi nyawa orang awam terkorban,” katanya menerusi entri terkini dalam blog 1Malaysia, hari ini.
Sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak sejak Israel memulakan serangan terbaru terhadap Palestin di Gaza, Rabu lalu.
Beliau berkata aktiviti keganasan itu sekaligus menunjukkan betapa perlunya proses perdamaian di Asia Barat.
“Untuk itu, kami juga menggesa campur tangan daripada kuasa besar dunia bagi menjamin keamanan di wilayah itu,” katanya.
Perdana Menteri berkata Malaysia juga sentiasa bersedia untuk membantu dalam apa jua keadaan agar proses perdamaian yang diharap dapat dilaksana.
Menurut laporan agensi berita, Reuters, Presiden Mesir Mohammed Morsi mengecam serangan Israel, menggelarnya satu “penindasan yang dahsyat”  yang harus dihentikan.
“Rakyat Mesir tidak akan meninggalkan Gaza bersendirian. Dan dalam berhadapan dengan penindasan hari ini, kita katakan kepada penindas, kita tidak akan mencapai perdamaian melalui penindasan,” ujar beliau.
Mesir memberi sokongan kepada Gaza dengan menghantar pegawai perubatan dan bekalan melalui sempadan.  Ribuan rakyat Mesir mengadakan protes terhadap serangan Israel ke atas Gaza, di masjid Azhar, menonjolkan perpaduan dengan rakyat Palestin.
Menteri Luar Tunisia Rafik Abdesslem yang melawat Gaza pada Sabtu, mengecam serangan Israel ke atas Palestin, menganggapnya sebagai tidak boleh diterima dan menyalahi undang-undang antarabangsa.
Beliau mahu Liga Arab memikul tanggungjawab untuk mendesak Israel menghentikan keganasan terang-terangan ke atas Palestin.
“Israel patut faham bahawa banyak perkara telah berubah dan banyak air telah mengalir ke dalam sungai Arab,” ujar beliau selepas lawatan di pejabat Perdana Menteri Hamas Ismail Haniyeh yang musnah menjadi runtuhan batu ekoran serangan udara pada malam sebelumnya.
“Israel patut sedar ia tidak lagi mempunyai kebebasan yang penuh. Ia tidak mempunyai keimunan penuh dan ia tidak terkecuali daripada undang-undang antarabangsa. Apa Israel lakukan adalah menyalahi undang-undang dan tidak boleh diterima,” tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang juru cakap ketenteraan Israel mengesahkan serangan udara ke atas pejabat Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh pada Sabtu, di mana beliau bertemu dengan rakat sejawat beliau dari Mesir bagi membincangkan perjanjian damai beberapa jam sebelum itu.
Beberapa serangan bertubi-tubi terkena Gaza sebelum fajar menyinsing.
Perkarangan Hamas diserang tetapi tiada kematian dilaporkan.  Kabinet Israel telah membenarkan mobilisasi 75,000 askar simpanan, bersiap sedia untuk kemungkinan sebarang pencerobohan ke dalam Gaza.
Ramai yang telah menerima taklimat oleh komander tentera dan menyediakan kenderaan bagi mematahkan serangan musuh.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengadakan sesi strategi selama empat jam bersama menteri kanan di Tel Aviv tentang memperluaskan kempen ketenteraan sementara ahli kabinet lain membincangkan tentang tahap mobilisasi melalui telefon.
Sementara itu, memetik laporan agensi berita nasional, Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penindasan dan kekejaman zionis Israel terhadap bangsa Palestin yang berterusan seharusnya menginsafkan umat Islam di Malaysia untuk bersatu padu dan tidak bertelagah sesama sendiri.
Pada masa yang sama, beliau berharap kesengsaraan yang ditanggung umat Islam Palestin tidak menimpa umat Islam di Malaysia.
Katanya umat Islam di Malaysia wajar mengambil iktibar dari keadaan itu dan tidak menjadikan perkara `cabang atau ranting’ sebagai penyebab kepada perpecahan sesama sendiri, sedangkan perkara pokok ialah umat Islam Palestin ditindas dan dizalimi.
“Sejarah panjang Gaza berkesinambungan tidak pernah putus. Lihatlah pembunuhan berlaku dan bagaimana kemanusiaan mudah diragut di saat umat Islam menyambut peristiwa Tahun Baru Hijrah.
“Kekejaman terhadap penduduk Palestin mengingatkan kita kepada peristiwa Nabi Muhammad S.A.W dihalau keluar dari bumi Mekah dan diancam dibunuh oleh puak kafir,” katanya semasa diminta mengulas mengenai serangan terbaharu Israel di Gaza sehingga mengorbankan penduduknya.
Jamil Khir berkata kekejaman terbaharu terhadap penduduk Islam Palestin adalah ulangan serangan besar-besaran empat tahun lepas yang walaupun dikutuk oleh umat Islam seluruh dunia namun zionis Israel tidak menghiraukannya.
“Manusia tanpa mengira pegangan agama hendaklah bersatu mengecam kekejaman Israel atas dasar sejagat, tidak boleh menerima perlakuan kejam dibiarkan berterusan,” tambahnya.
Beliau meminta diadakan solat hajat memohon keselamatan rakyat Palestin.
Katanya kerajaan sudah menghantar surat bantahan mengecam kekejaman Yahudi terhadap Palestin kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan meminta badan dunia itu mengambil tindakan tegas terhadap Israel.
Beliau berkata pemulauan produk atau apa saja yang berkaitan dengan Israel harus dilakukan supaya memberi tekanan berterusan kepada rejim Zionis itu agar tidak lagi menyerang Palestin.
DAP pula meminta kerajaan Malaysia mengemukakan bantahan diplomatik bagi membendung segera keganasan tentera rejim Israel terhadap penduduk awam Palestin di Semenanjung Gaza.
Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata Wisma Putra perlu menyampaikan pesanan tegas kepada Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan keganasan Isreal-Palestin yang sedang berlaku ini.
“DAP mengecam penggunaan taktik keganasan Israel yang mempunyai kelebihan ketenteraan yang jauh lebih hebat. Sebarang tindakan keganasan oleh Israel secara lazimmnya akan mengakibatkan kematian dan kerosakan berlebihan dan mengundang serangan balas daripada pejuang Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.


Berita {6 hari yang lalu}

***********************************************************************************

***********************************************************************************


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat Malaysia agar terus menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk bagi membantu penduduk Gaza, Palestin yang semakin teruk ditindas Israel.

Tun Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) berkata, apa jua bantuan termasuk makanan, pakaian, bahan-bahan pembinaan mahupun wang boleh membantu rakyat Palestin itu untuk terus hidup dan mendapat tempat berlindung yang lebih baik.

“Malaysia ada badan-badan tertentu yang terbabit beri bantuan kepada Gaza. Hari ini kita lancar satu tabung. Hasilnya akan diagihkan kepada beberapa NGO yang mempunyai rangkaian pengedaran di Gaza, yang kita (PGPF) tak ada. Jadi kita sanggup beri kepada sesiapa yang sehaluan dengan kita sama ada dalam negara ataupun di Eropah,” katanya selepas melancarkan Tabung Kecemasan Gaza di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Turut hadir, isteri Tun Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dan Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai.
Serangan Israel ke atas Palestin sejak 15 November lalu mengakibatkan lebih 100 penduduk Gaza terbunuh termasuk kanak-kanak dan warga tua, serta mencederakan ratusan yang lain.
Meskipun Israel terus mengenakan sekatan bagi sebarang bantuan memasuki Gaza, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia boleh menyumbang tanpa had kerana hasil yang dikumpul akan terus diagihkan kepada pihak-pihak berkaitan tanpa henti.
Sambil melahirkan kekecewaan atas sekatan itu, beliau bagaimanapun bersyukur kerana pertukaran kerajaan di Mesir sedikit sebanyak telah dapat memudahkan penghantaran bantuan untuk rakyat di Gaza.
Terdahulu dalam ucapannya, Tun Mahathir melabelkan Israel sebagai ‘negara yang paling tanpa undang-undang yang pernah dilihat dalam sejarah dunia’ kerana ia telah melanggar undang-undang antarabangsa dan melakukan pembunuhan.
“Bagi setiap kapal yang membawa bekalan ke Gaza, Israel melepaskan serangan tentera terhadap kapal itu.“Israel berkata ia hanya memastikan keselamatannya tetapi keselamatan mereka berdasarkan rasa tidak selamat terhadap orang lain,” katanya.
Tun Mahathir menegaskan, Israel percaya mereka mempunyai hak untuk melepaskan serangan terlebih dulu kepada mana-mana negara pada sebarang masa, seperti serangan terhadap Sudan baru-baru ini.
Beliau berkata, rakyat di Gaza juga mempunyai hak untuk berasa selamat terutama apabila mereka diletakkan di bawah sekatan dan dinafikan untuk mendapat makanan dan ubat-ubatan.
“Apa yang mereka akan lakukan apabila dunia hanya memandang dan tidak melakukan apa-apa. Jadi, mereka harus menyerang balik dengan cara mereka sendiri. Mereka melepaskan beberapa roket yang tidak berbahaya yang tidak dicipta oleh kuasa besar dunia,” katanya sambil menuntut Israel menunjukkan bukti bahawa tindakan itu telah membunuh tiga rakyatnya dan menyebabkan kerosakan kepada Tel Aviv.
“Bukti dengan jelas menunjukkan Israel adalah pengganas. Israel adalah negara pengganas. Ia mengancam semua orang di sekelilingnya.
“Saya ingin menyatakan roket kecil yang dilepaskan Hamas terhadap Tel Aviv, adalah serangan mereka dulu terhadap Israel. Mereka terpaksa memusnahkan Israel untuk memastikan mereka selamat. Bukti menunjukkan Israel yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan bukan di sebaliknya,” katanya.Beliau kemudian menyerahkan sumbangan PGPF RM100,000 kepada Prof Paola Manduca bagi pihak Bantuan Perubatan Palestin.Selain pelancaran dana dan sumbangan hari ini, PGPF juga menyumbangkan 500,000 unit 1.5 liter botol air di bawah projek Wakaf Water4Gaza serta pakaian dan bahan-bahan lain ke Gaza baru-baru ini. – BERNAMA

No comments:

"assalamualaikum.."